SETIAP manusia mendambakan bahagia. Begitu juga dengan Nur Faradila. Pertemuan di kota suci Mekah memahat kenangan terindah dalam hidupnya. Mendambakan kasih Khalish yang menyepi tanpa berita. Bertahun memendam kasih, hanya dirinya yang menghuni tasik hatinya.
Benarlah kata pepatah, kalau dah jodoh tak ke mana. Kedatangan Nur Faradila ke Terengganu semakin mengikat kasihnya pada Khalish. Namun dirinya tidak mampu berterus terang, bimbang hatinya terluka dengan penolakkan lelaki itu, walaupun ada bayangan kasih yang terpancar lewat mata dan perlakuan lelaki itu.
Kecurangan ayah tersayang terbongkar setelah ketiadaannya. Rupanya ayahnya berkahwin lain tanpa pengetahuan mereka terutama ibunya. Sedih ibunya bukan kepalang. Rasa dikhianati lebih menyakitkan dari rasa kehilangan. Dan tanpa pengetahuan ibunya, ayahnya juga mempunyai anak seorang anak hasil perkahwinan keduanya itu. Perkara itu di sembunyikan dari ibunya kerana tahu ibunya pasti akan marah pasa situasi itu.
Kehilangan adik yang paling disayanginya di saat menghitung hari bahagia begitu meluluhkan hatinya. Kemalangan yang meragut nyawa Nur Haneen bagai mimpi padanya. Kesunyian yang dirasainya memaksa dia mencari Nur Rania. Semoga dengan kehadiran Nur Rania dapat mengembalikan ceria di rumah itu. Itu harapan dan doanya. Namun perasaan takut tetap terselit di sanubarinya. Takut pada penerimaan si ibu jika mengetahui yang Nur Rania adalah anak arwah ayahnya bersama wanita lain. Namun, tanggungjawabnya terhadap anak kecil yang tidak berdosa itu harus ditunaikan. Tidak tega membiarkan Nur Rania membesar di rumah anak yatim sedangkan dirinya masih mempunyai seorang kakak yang mampu memberikan kasih sayang dan kesenangan padanya.
Penyatuan dua jiwa yang saling menyintai di raikan dalam suasana yang penuh gilang gemilang. Dalam gembira terselit kesedihan. Nur Faradila teringat pada arwah Nur Hasneen. Adiknya itu sangat menyukai Khalish. Bagai terdengar-dengar suara manjanya bermesra dengan bakal abang iparnya itu. Nur Haneen lah penghubung antaranya dengan Khalish di awal pertemuan mereka dahulu. Tetapi semua itu tinggal kenangan sahaja. Dia harus menerima kenyataan yang Allah SWT lebih menyayangi adiknya itu.
Sengsaranya bila berjauhan. Bukan mudah baginya untuk meminta pertukaran ke Terengganu walaupun sudah berbuat demikian. Kasihan pada suaminya, Khalish yang terpaksa berulang-alik dari Terengganu ke Kuala Lumpur semata-mata mahu bersama dengannya.
Perkahwinan ibunya dengan Datuk Azlan sedikit sebanyak menghantar kesepian dalam hidupnya. Sudahlah berjauhan dengan suaminya. Ibu dan Nur Rania juga tidak tinggal bersamanya lagi. Sayu hatinya ditambah dengan dirinya sedang berbadan dua. Perasaan cepat tersentuh.
Tidak disangka kejutan demi kejutan di hadapinya. Pembukaan Butik Khalish di Kuala Lumpur satu kejutan manis untuknya. Itulah usaha Khalish untuk bersama dengannya. Hatinya berbunga riang. Tiada lagi kerisauan dan keresahan di tinggal keseorangan. Dia bersyukur dengan rahmat yang dikurniakan padanya. Yang paling penting, kasih Khalish menggunung padanya. Dan dia berdoa semoga cinta mereka tetap utuh sehingga hembusan nafas terakhirnya.