JOM...KONGSI NOVEL KEGEMARAN ANDA DI SINI...

SAYA CUMA UPLOAD NOVEL YANG SUDAH ADA DI DALAM SIMPANAN SAYA.... JADI ANDAI TIDAK ADA GAMBAR NOVEL KEGEMARAN ANDA DI SINI, ITU TANDA NYA SAYA BELUM LAGI MEMBELI @ MEMBACA NYA... JADI, DARI SITU ANDA BOLEH BAGI SAYA IDEA DAN KOMEN TENTANG NOVEL YANG ANDA SUKA ITU.... CERITA KAN DENGAN SAYA SAMA ADA IANYA INTERESTING, LUCU, SEDIH & ETC.... THANK YOU!!!!

Tuesday, August 9, 2011

Bila Hati Berbisik



Cinta tanpa berterus terang mampu memisahkan dua hati yang setia terjalin. Cinta yang tidak dilafaz membuatkan Nia dan Adam sama dingin walaupun sudah bergelar suami isteri. Perkahwinan antara mereka terjadi hanya kerana amanat. Adam menganggap Nia masih belum mampu lupakan Ariq. Nia menganggap Adam masih cintakan Melissa. Sejauh manakah perhubungan andai hati berbisik namun mulut tidak pernah berbicara?

"Lafazkanlah jika benar kata hatiku ini sama dengan kata hatimu. Jangan terus bermain dengan bahasa jiwa.” - Nia“Memang benar cinta itu aneh. Samalah dengan cinta kita. Aneh... kerana sukar diluahkan, sukar dibaca bahasa jiwanya.” - Adam

Kuingin Bersamamu (Recomended)


Rasa yang mencengkam di kamar hati, siapakah yang mampu mengerti? Bila rindu berladung, segalanya jadi begitu mengasyikkan. Namun, seksanya memugar di hati. Dalam seksa itu, dia menghimpun mimpi untuk melanggari hidup bersama insan tersayang. Namun, cinta terkelar di pertengahan jalan. Hatinya jadi lunyai oleh impi yang hancur. Dia keterpaksaan melepaskan segala impinya melurut di ujung hiba......... Dida Qistina

Rindunya yang sadis tetap dilayaninya penuh perasaan. Dari kejauhan, dia mengumpul kasih yang limpah buat insan bergelar Dida Qistina. Hanya sekadar rasa terhibur dengan seorang gaids yang mampu mengubat lara di hatinya. Kasih hidup dalam diam. Lalu, tiap rasa yang hadir dinikmati penuh syahdu...... Ziqree Hadiff

"Ima bersumpa. Bayi dalam kandungan ini anak abang! Kalau abang tak percaya, minggu depan, kita akan jumpa doktor buat DNA. Doktor yang akan menjawab persoalan itu, bang!"......... Syarifah Ima Arni.

"Kau kena tahu, Dida. Aku ni jenis manusia yang tak pernah tahu nak mengalah. Apa yang aku nak, pasti aku cuba rebut walau macam mana caranya. Apa lagi orang yang handsome dan kaya-raya macam Abang Ziq tu!"........ Syarifah Ima Arni.
.....................................................................................................................

Haji Alias ingin sangat menjodohkan anak perempuannya yang montel dengan Ziqree Hadiff. Ziqree Hadiff yang baru saja putus tunang dengan Nina Harleena masih lagi dalam proses mengubat hati yang luka. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Haji Alias untuk mendesak Ziqree supaya menerima Dida Qistina sebagai pengganti. Ziqree menjadi serba salah. 

Sebelum menerima Dida Qistina sebagai teman hidup, Ziqree telah membuat satu kontrak. Kontrak ini perlu dipatuhi oleh Dida selama dua tahun pemergian Ziqree ke New Zealand untuk melanjutkan pelajaran. Pada mulanya Haji Alias tidak bersetuju tetapi Dida Qistina pula menerima kontrak itu dengan senang hati. Bagi Dida Qistina kontrak itu tersangat mudah untuk dipatuhi dan tidak mempunyai peraturan-peraturan yang menyulitkannya.

Dida Qistina ni seorang gadis yang montel, periang dan berperwatakan sederhana. Sangat mementingkan kebahagiaan ayah dan ibunya. Selalu patuh dengan apa jua suruhan orang tua tanpa banyak soal. Walaupun montel tetapi mempunyai seraut wajah yang manis. Sepanjang pemergian Ziqree ke New Zealand Dida selalu bermain chatting dengan dua orang jejaka yang dikenalinya melalui internet. Encik Kacang dan Mat Gendut. Saban hari bermain chatting barulah Dida mengetahui rupa-rupanya Encik Kacang adalah Ziqree. 

Setelah membuat pemeriksaan kesihatan, Dida Qistina didapati mempunyai kolesterol dalam darah yang terlalu tinggi. Dida kemungkinan boleh pengsan dan koma secara tiba-tiba. Situasi ini amat menakutkan Dida. Aiman, kawan Ziqree membantu Dida dalam proses melangsingkan badan yang berjalan selama enam hingga lapan bulan. Dida juga ditawarkan menjadi duta kepada program pelangsingan itu sekiranya Dida berjaya menguruskan badannya.

Dalam novel ini banyak menceritakan proses pelangsingan badan, cara menurunkan berat badan, menghilangkan selulit dan mengamalkan cara pemakanan yang betul. Untuk sesiapa yang terasa berat badannya berlebihan dan berniat untuk menurunkannya saya rasa Dida adalah sebagai contoh dan motivasi yang sesuai. 

Dengan azam yang tinggi dan kecekalan diri Dida berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 30 kilogram dalam masa 10 bulan. Dida telah berubah menjadi gadis yang dulunya montel kini seorang yang langsing dan menarik. Kolesterol dalam badannya juga telah stabil semula. Dida juga sering dibawa oleh Aiman dalam urusan promosi program pelangsingan badan. Dalam erti kata lain Dida sekarang dah jadi model yang terkenal dan mendapat perhatian ramai.

Bermula lah pula karier Dida Qistina sebagai seorang model. Daripada model program pelangsingan badan sehingga ke model syampu rambut. Diminati oleh semua orang termasuk datuk-datuk yang mencuba nasib memancing niat terselindung. Tetapi Aiman sebagai pengurus Dida sangat bijak menangani masalah ini tanpa pengetahuan Dida. Aiman tidak akan biarkan Dida ditawan oleh mana-mana lelaki kecuali Ziqree. Sementalah amanah besar yang terpaksa dipikulnya sepanjang ketiadaan Ziqree selama dua tahun. 

Melihatkan perubahan saiz dan bentuk badan Dida yang amat ketara membuatkan hati Ziqree tertawan. Sememangnya betullah tiada lelaki yang mahukan kekasihnya berbadan gemuk. Tugas Ziqree pula untuk menawan hati Dida supaya jatuh cinta padanya.
Novel ini agak mendatar dan perjalanan cerita di awalnya sangat perlahan. Klimaks untuk cerita ini juga seakan-akan tidak sampai. Ianya seolah-olah membaca perjalanan hidup Dida yang montel ditransformasikan menjadi Dida yang langsing dan menawan. Penampilan Dida yang menarik inilah yang mendapat perhatian dari Ziqree dan orang-orang lain juga yang sebelum ini mencemuh dan mentertawakannya.

Castle Cinta DEADAY


Aku Benci Sangat! Tapi... Kenapa Aku Rindu

Sejak kecil Hidayah mengalami krisis nilai identiti. Papa mengajarnya menjalani kehidupan seperti remaja lelaki manakala mama pula menginginkan dia menjadi gadis sejati. Memenuhi kehendak mama dan papa membuat dai pening kepala. Krisis kemelut berlanjutan hingga kepada soal hati dan perasaan. Imran Hadi seorang yang berkarisma, tenang dan berkaliber. Dia senang dengan lelaki ini. Raziq pula lelaki ego dan sombong hinggakan mereka sering bertelingkah. Namun jika Raziq tiada, Hidayah akan berasa rindu. Siapakah sebenarnya yang berada di hati Hidayah?

Jom click blog @ facebook Indah Hairani

Hanya Kau Yang Tahu


Seandainya Boleh Kuaturkan Perasaan ini, Pasti Bukan Cintanya yang Kucari...

Demi kasih sayang seorang anak pada ayahnya, Farah rela berpura-pura menjadi kekasih terbaharu Daniel Harith agar ayahnya tidak dipenjarkan oleh majikannya itu. Ini juga peluang keemasan yang diguna oleh Daniel Harith, tokoh koporat muda yang terkenal dengan imej  'Romeo' untuk melepaskan dirinya dari Munirah Samad. Dilema di hati Farah menjadi bertambah parah apabila impiannya untuk membina bahagia bersama kekasihnya Rizal menemui jalan buntu. Hanya Kau yang Tahu akan dapat menyingkap semua rahsia yang seolah-olah memenjarakan Farah dalam penderitaan yang entah akan berakhir.

Hati Yang Terusik


Kisah yang begitu hebat ini mampu mengajak para pembaca menilai hati dan perasaan manusia dalam nilai kejujuran, kasih sayang, cinta dan pengorbanan. Vanessa yang memeluk Islam berkahwin dengan lelaki pilihan semasa mereka masih menuntut di UK walaupun pernikahan mereka ditentang oleh Vincent Lee, bapanya.

Di sebalik pernikahan itu, terselit rasa benci Vincent terhadap Farhan apabila teringatkan anak sulungnya bernama Irene. Namun, Vanessa mendiamkan diri kerana itu adalah pilihannya. Dia masih tetap mencintai Farhan.

Langit tidak selalu cerah, apabila Vanessa dan Farhan dipanggil balik ke Malaysia tanpa sempat menghabiskan pengajian mereka. Tempoh perkahwinan mereka berdua tidak berpanjangan kerana Vanessa dipersiakan haknya oleh Farhan. Akhirnya, Vincent Lee meminta Vanessa berkahwin dengan Raymond.

Mengapakah Vincent amat membenci Farhan apabila terkenangkan Irene? Mudahkah Farhan melafazkan cerai apabila Vincent mahu Vanessa berkahwin dengan Raymond? Mampukah Vanessa menerima arahan bapanya itu? Apakah taktik yang digunakan oleh Vincent agar Vanessa patuh pada arahannya?

Ada Cinta Di Hati


Mereka ditakdirkan lahir sebagai pasangan kembar seiras. Walaupun dari segi lahiriah tiada bezanya, tapi batiniah mereka tidak sekata. Adlyna seorang gadis yang langsung tidak takut pada halangan sehinggakan apa yang diingini mesti dikota. Bagi Adreena pula, dia seorang yang lembut hati dan mudah mengikut kata. Lantaran, dia sering dipersendakan oleh kakak kembarnya.

Adlyna hebat di pentas peragaan. Kerlipan cahaya yang sering menyimbahi tubuhnya menyebabkan dia seperti berada di awang-awangan. Sehingga, dia nekad meninggalkan majlis perkahwinan di saat-saat akhir demi memenuhi tuntutan hatinya. Akibatnya, Adreena yang terpaksa menjadi korban saudara sendiri.

Keterpaksaan Syukri dan Adreena menjadi pasangan suami isteri menyebabkan hubungan itu bergantung tidak bertali. Tiga tahun mereka melayari bahtera yang tiada nakhoda, dan selama itu semuanya menjadi rahsia. Indah di mata orang tapi derita di hatinya.

Kesetiaan Adreena dicabar dan diasak-asak. Sampai bila dia harus berdiri dan terima segalanya dengan redha? Ya… selagi ada cinta di hati, dia harus lakukan sesuatu biar apa jua natijahnya.

Dia sering diterjah dengan pepatah, ‘air dicincang takkan putus.’ Tapi, di mana kebenaran kata-kata itu kalau hatinya sering disiat-siat dan dilapah tiap ketika? Dan bagaimana dengan Adlyna? Bahagiakah dia setelah mencipta duka?

Ku Mohon Kasih




Azrul Rozaimy atau Roy... berdepan jua dengan Ayuni setelah lima tahun peristiwa dia terlanjur menodai gadis itu. Dia tidak menyangka Ayuni mengalami tekanan jiwa akibat peristiwa itu. Lebih menyedihkan apabila mengetahui bahawa keterlanjurannya menyebabkan Putra lahir ke dunia. Dengan menyamar sebagai Mi dan mengubah penampilan diri, dia mengahwini Ayuni.

Ayuni... sebenarnya dia waras. Kerana dendam terhadap Roy, dia mahu membalas setiap derita yang ditempuhi selama ini. Namun, dendam itu berbaur dengan rasa cinta yang sangat utuh di dalam hati. Hanya Roy yang ditunggu dan ingin ditemui.

Salwarina... mencintai Roy sejak kecil lagi. Impian jadi nyata apabila keluarga menjodohkan mereka. Mereka berkahwin tanpa kerelaan Roy, sekadar untuk mengeratkan silaturahim keluarga. Semuanya tersingkap jua. Jiwanya bergelodak amarah. Tidak rela menjadi isteri kedua, tidak mahu ada orang ketiga.

Sudahnya, mereka tersepit dalam perangkap cinta. Roy hanya cintakan Ayuni dan ingin kecapi cinta mereka yang ternoda dulu. Ayuni terus memburu Roy tanpa menyedari bahawa kekasih yang dicari ada di depan mata. Sawarina tetap mahu memiliki Roy walaupun sedar tidak mungkin dapat menakluki cinta lelaki itu.

Jika cinta itu suci, mengapa mesti ada insan yang akan terluka?Dan jika kasih itu abadi, pohonlah agar ia terus bersemi.

Cinta Rahsia



Ayu Kartika terperangkap antara cinta dan cita-cita. Dalam membina kerjaya, dia telah bertemu Adam Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Creative Communication, sebuah syarikat pengiklanan dan penerbitan milik bumiputra.

Adam yang sudah bertunang dengan gadis pilihan ibunya Farah Aina, terpaut hati pada Ayu. Seminggu sebelum majlis perkahwinannya, Adam telah membatalkan majlis tersebut. Dia telah menjejaki Ayu di Cherating. Salbiah, tidak dapat menerima keputusan anaknya itu Dia telah mengalami tekanan perasaan. Malang tidak berbau, dalam perjalanan pulang, Adam ditimpa kemalangan yang menyebabkan dia lumpuh.

Dr. Zabidi bersepakat dengan Ayu untuk membantu memulihkan Adam. Takdir telah menemukannya dengan Maisarah dan Daniel Hakimi, saintis muda dari Florida. Daniel telah membantu memulihkan Adam. Adik Adam, Hairil pula muncul dan menambah lagi kerumitan. Pada masa yang sama, Farah Aina cuba berbaik dengan Hairil, bekas kekasihnya. Kay yang hamil anak luar nikah hasil hubungannya dengan Hairil menaruh harapan pada Adam untuk menjadi bapa kepada anaknya. Kemuncak kisah ini berlaku apabila Farah Aina akhirnya dibunuh oleh Hairil. Lelaki itu pula dijatuhkan hukuman mati.

Tetapi dendam Farah Aina tidak berakhir di situ kerana Kay pun memusuhi Ayu hingga mendorong dia merancang untuk membunuh gadis itu. Terbukakah hijab yang menghalang hubungan Ayu dan Daniel?

Prince Charming



Dia hidup bukan kerana cinta. Dia hidup kerana kehadiran Prince Charming yang menyelamatkannya. Semuanya gara-gara dia mengoyak Carta Prince Charming—carta misteri yang tiada sesiapa tahu dari mana datangnya. Yang pasti, memang dia langsung tidak percaya dengan sumpahan yang dikatakan berkaitan dengan Carta Prince Charming.

“Sumpahan puteri? Kau ingat ini cerita dongeng ke? Puteri apa yang nak sumpah aku ni? Puteri bunian? Puteri lindungan bulan?

”Desakan daripada Sofea membawanya ke Kelab Bola Sepak. Di situlah Prince Charming berkumpul. Tetapi hanya seorang sahaja Prince Charming yang dicari-carinya. Namun, untuk mencari Prince Charming bukanlah mudah, namun dia yakin, antara mereka, pasti salah seorang adalah penyelamatnya.

Orang tu pun satu! Dah selamatkan nyawa orang, tak reti-reti ke nak munculkan diri? Bukan ke lagi senang kalau datang berdiri depan aku dan cakap, Sayalah yang selamatkan awak daripada kena langgar semalam. Finish! Tak adalah nak panjangkan cerita sampai beratus muka surat semata-mata nak cari Prince Charming!

Antara Rezza, Fiq, Nazrul, Hayrul dan Najmi, siapakah Prince Charming yang sebenar? Atau, bukan dalam kalangan mereka? Ada apa dengan Carta Prince Charming? Siapa yang membuatnya? Apakah misteri di sebaliknya? Benarkah sumpahan itu benar?

Click sini untuk membaca beberapa bab dari novel ini.. =)

Syurga Di Wajahmu


Pertemuan pertama Idayu dan Hairi, membuat rasa cinta pada Hairi pada gadis pingitan ini.  Walaupun dirinya sukar di dekati, Idayu juga merasa apa yang Hairi rasakan.  Mereka akhirnya bertunang dalam tempoh perkenalan yang singkat.  Namun rahsia yang terbongkar tentang diri Idayu menyebabkan Idayu dengan rasa rendah diri memutuskan pertunangan dengan Hairi tanpa memberi sedikit pun penjelasan.

Setelah tamat pengajian Idayu bekerja sebagai jururawat peribadi kepada Engku Maryam, hanya kerana ingin terus meminggirkan diri dari dunia luar.  Namun pertemuannya dengan Engku Lokman, cucunda Engku Maryam membawa kisah kasih yang ingin sekali dihindari oleh Idayu.  Kehadiran Idayu pada mulanya tidak diendahkan oleh Engku Lokman.  Namun kejadian di suatu senja, telah menyebabkan Engku Lokman tidak mampu untuk menghindarkan gadis itu dari ingatannya.  Terbawa-bawa naluri lelakinya yang ingin memiliki tubuh gadis mulus itu, dia telah memperkosa  Idayu.  Bila perlakuannya itu di ketahui oleh ayahandanya, dia dipaksa mengahwini Idayu. 

Mampu kah Idayu mengubah suami nya dari dosa dan noda semalam? Mampukah dia dari cinta barunya?  Bahagia mereka melayari sebuah bahtera dengan cinta yang terpendam dalam diam?  Mungkinkah ada badai yang melanda bahtera cinta yang baru sahaja memulakan pelayarannya itu?  Dan Hairi, apakah kembali dia nanti adalah hanya untuk menagih cintanya yang tidak kesampaian?


Click ==>> facebook LAILA HANNI

Friday, August 5, 2011

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Dia selesa hidup di dalam kesederhanaan. Kemewahan padanya sering melalaikan. Punca ayah lupa diri, lupa tanggungjawab dan lupa pada mamanya yang setia. Mama yang sebelum ini menjadi tulang belakang kepada empayar yang dibina. Tercabar dan dicabar; tidak menjadi kudis padanya. Melayan sakit hati jua hanya membuang masa. Dia memiliki prinsip diri yang harus dipertahankan dan dihormati. Lalu kedudukan itu bukan ukurannya

Dia Lebih Mengerti



Sesekali bukan tidak diikut akal warasnya. Sesekali bukan tidak difikirkan rasa cinta yang masih ada. Namun kenangan silam, cukup membuat seorang Umairah terpaksa mengalah. Diperendah dan dihina, dinista dan hanya mampu mendapat sisa. Umairah akur kehendak takdir. Cinta itu bukan untuknya.

Tetapi lelaki yang bernama Syed Abid tidak mengerti. Terlalu besarkah kesalahannya sehingga Umairah marah? Terlalu banyakkah dosanya sehingga Umairah mengalah? Bagi lelaki ini, cinta yang ditemuinya kali ini, cinta sejati.Bagaimana Umairah marah, bagaimana Umairah mengalah. Tidak semudah itu dia akan menyerah kalah. Cintanya hanya untuk Umairah. Tiada siapa yang boleh menegah. Kerana bagi Syed Abid, cinta yang ada dihatinya, hanya dia sahaja yang mengerti.


Air Mata Kasih




Tragedi 40 tahun duu telah meninggalkan bayangan hitam dalam hidup Fakrulrazi. Kerana tingkah seorang perempuan, dia menyimpan dendam pada perempuan. Baginya, perempuan sering mendatangkan bencana. Oleh itu timbul diskriminasi antara anak lelaki dan anak perempuan dalam keluarganya. Dan dia sendiri amat memusuhi anak perempuannya Farah Diba, sedangkan gadis itu tidak bersalah. Malah dia cuba menafikan kewujudan gadis itu dari pengetahuan rakan-rakan bisnesnya.

Farah Diba, cekalkan hati untuk menghadapi kebencian bapanya. Dengan air mata, dia meneruskan kehidupannya tanpa kasih sayang dan perhatian lelaki itu. Sebagai magsa sebuah dendam, dia mahu membuktikan bahawa anak perempuan juga punya hak dan berhak!TUHAN menurunkan 'petunjuk' bila Fakrulrazi dan anak lelakinya Fuad serta Farid hilang di Whitsunday Island, Australia. FAS Holdings milik Fakrulrazi menjadi rebutan rakan dan saudara mara. Akhirnya, Farah Diba terpaksa menerajui syarikat itu. Tanpa dendam, benci atau sakit hati, dia melonjakkan nama syarikat itu di mata korporat. Namun, usahanya itu tidak berpanjangan bila Fakrulrazi kembali.
Dimankah Farah Diba selepas ini?


Adakah dendam itu terus menjadi hitam?
Hanya lelaki itu yang dapat menjawab persoalan ini!

Aura Cinta


AURA CINTA menemukan anda kepada Azraai, lelaki Melayu yang bertubuh tegap lagi tinggi orangnya. Perjalanan hidupnya mula goyah bila pertama kali bersua dgn sesuatu yang dianggap aneh lagi pelik. Mengapa tiba-tiba saja dirinya teruja??

Aisya Hanan dan Cikgu Sally... mencabar jiwanya yang selama ini dirasakan aman dan tenteram. Dalam kekeliruan, Azraai tidak mampu untuk menepis kasih sayang Nurbaiti, gadis cantik lagi bijak, yang bukan hanya merupakan pilihan ibu, tapi gadis ini juga sudah lama taat menantinya. Di manakah letaknya nilai kasih seorang gadis matang, berjiwa murni, sopan santun dan berakhlak tinggi?? Bukankah dia mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang calon isteri?

Siapa pula Khairul, Anjang Sadang, Serhan Aydin dan Irfan? Bukan mudah untuk memilih. Tidak juga mudah untuk mengembara ke alam realiti yang penuh fantasi dan ilusi. Anda akan dibawa ke kawasan perkampungan orang asli di daerah Kuala Lipis, Pahang, satu kawasan tropika yang meninggalkan terlalu banyak teka teki untuk Azraai. Panoramanya cukup indah namun tetap berbeda dari yang biasa. Anda juga akan ke Lembah Kelang dan Negara Belgium dalam novel ini. sama-samalah bertemu dengan karekter-karekter yang semestinya akan membuat anda berkhayal, sambil menimba ilmu yang padat dibekalkan penulis.

Bisikan Rindu


Antara Shahrul dan Ikhwan kedua-duanya sama kacak, sama baik. Tapi jika di hati tiada rasa cinta, salah seorang harus berkorban. Jika mulut berkata sayang sedangkan hati berkata tidak, untuk apa sebuah percintaan?

Sekuat manapun cinta Shahrul kepada Dina, hatinya tetap milik Ikhwan. Kehadiran Ikhwan telah mengajar Dina erti sebuah rindu. Namun percintaan mereka sering diuji dengan salah faham dan kebetulan.

Akhirnya, Dina mengalah. Perginya bukan kerana kalah, tetapi pergi mencari harga diri yang dicampak oleh lelaki yang amat dicintai. Kerana cinta itu Dina sanggup tinggalkan Ikhwan dan segalanya.

Setelah agak lama menyepi, Dina nekad ingin kembali. Sayangnya kepulangan Dina dalam keadaan yang tidak terduga! Tiada kata maaf, tiada pelukan mesra. Yang ada hanya tangisan... Gembira atau duka?

Facebook Mimie Afinie

Camar Yang Pergi




DILARA seorang gadis miskin yang tidak habis sekolah, sering berkhayal untuk berdampingan dengan pemuda yang kaya-raya. Namun, bila difi kirkan, mana mungkin dia dapat duduk setaraf dengan golongan elit? Apatah lagi berkahwin dengan jejaka idaman kalbu yang digilai oleh ramai gadis. 

Khayalannya hampir menjadi realiti bila dia menjadi tukang cuci di rumah orang kaya bagi menggantikan ibunya yang sakit. Dalam diam, dia dapat mendampingi Orhan, anak majikannya dan sering berkhayal mereka bersama. Bila tidak memandang wajah lelaki itu, dia diamuk resah dan rindu yang membara.

Namun, apakan daya, Orhan sah menjadi milik Nesye. Akhirnya, Dilara membuang khayalannya dan dia terpaksa menanggung kesedihan seorang diri. Bagi Orhan pula, perkahwinannya dengan Nesye dianggap satu kesilapan kerana dia benar-benar belum bersedia. Dalam diam, dia terpaut pada Dilara kerana sejak pertama kali mata mereka bertemu, dia sebenarnya sudah jatuh hati. Bahtera perkahwinan Orhan dan Nesye tidak bertahan lama. Akhirnya, perceraian pun berlaku. Takdir memekarkan kembali hubungan Orhan dan Dilara. Namun, bersediakah Dilara menghidupkan kembali khayalan yang telah dibuangnya itu?

Jawapan Yang Pasti



ORANG kata, bercinta dengan dengan golongan artis amat membahayakan kerana hu-bung an pastinya tidak akan kekal lama. Namun bagi Kyra, dia percaya kepada Ariff kerana amat mengenali lelaki itu, jiran sebelah rumahnya. Tidak mungkin Ariff sanggup mempersendakan cinta dan kasih sayang mereka.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Hubungan mereka yang sudah mendapat restu daripada keluarga tidak bermakna lagi buat Kyra. Kenyataan Ariff yang terpampang di dada akhbar benar-benar merobek hatinya. Sanggup lelaki itu menafi kan hubungan mereka ketika disoal media dan menyatakan bahawa Kyra hanyalah jirannya.

Gadis itu lantas membawa diri yang lara. Dia nekad tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu.Namun, dunianya yang sudah tenang dikocak pula dengan berita Ariff ditangkap khalwat. Bencinya terhadap lelaki itu sudah tidak dapat dibendung lagi.

Ariff baru tersedar daripada peristiwa hitam itu. Dunianya pula semakin gelap tanpa Kyra di sisi. Dia harus memperisterikan Kyra kerana masih lagi menyayangi gadis itu.


Namun, apa yang dibimbanginya... adakah gadis itu masih mahu bertamu di hati-nya sedangkan mendengar suaranya pun sudah tidak sudi lagi?

Pesona Rindu


RINDU bertandang ketika masing-masing didakap kesepian. Fazlan ditinggalkan Darina, isteri yang obsesi terhadap cinta, cita dan impian. Najmah pula memutuskan pertunangannya kerana tidak menyintai jejaka pilihan keluarga. Keputusan Najmah mengundang sengketa. Dia terpinggir dan kepulangannya tidak diharapkan.

Fazlan hadir memberi kedamaian. Persahabatan bertukar menjadi kekasih. Najmah menyangka yang dia hanya menghormati Fazlan sebagai majikan. Namun cinta di hatinya kian berputik biarpun dia tahu Fazlan adalah suami sahabat baiknya sendiri.

Selepas lima tahun di luar negara, Darina kembali semula. Ternyata cintanya terhadap Fazlan masih ada. Bagaimana harus Fazlan menerima Darina semula? Sedangkan dalam masa yang sama cintanya terbahagi dua untuk Najmah juga. Lalu Fazlan merahsiakan perkahwinan itu.

Najmah diburu rasa bersalah. Dia telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Darina untuk menjaga Fazlan. Bagi Najmah, cintanya hadir hanya sementara. Tidak lebih dari sebuah pesona.

Fazlan dalam dilema, siapakah yang lebih dicintainya? Najmah ataupun Darina? Namun bagi Fazlan, dia tidak rela kehilangan kedua-duanya sekali.

Cuma Dia


BERTEMU Iqbal merupakan perkara terindah dalam hidup Dalila. Lelaki itu terlalu sempurna di mata dan hatinya. Iqbal kacak, berkarisma dan mempunyai aura yang memikat. Tetapi ada sesuatu yang mencetus rasa curiga Dalila.

Siapa Iqbal sebenarnya? Jejaka itu terlalu perahsia. Entah kenapa, Iqbal ke luar negara hilang tanpa khabar berita. Dalila tenggelam punca. Langkah jejaka itu tidak dapat dijejak. Sendirian dia mengekang kesedihan yang bertandang.

Dipertemukan dengan Hilman oleh si ayah ibarat air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Agenda tersirat seorang ayah dapat ditelah. Rupa-rupanya, Hilman adalah anak kekasih lamanya. Namun, Dalila akur jika itu sudah suratan. Apatah lagi Hilman berperibadi mulia.

Lima hari sebelum sah menjadi suri hidup Hilman, Iqbal tiba-tiba muncul di depan mata! Dalila ingin meraung sekuat hati. Tapi dia tidak mampu mengubah keadaan. Dia serba salah.

Hadirnya Cinta



Yasmin Nadilla suka melancong. Kali ini Pulau Santubong, Pulau Sejinjang menjadi destinasinya. Namun malang tidak berbau, Yasmin Nadilla telah diculik bersama seorang anak hartawan bernama Daniel Ezairy.

Sejak menjadi tahanan, Daniel Ezairy sudah mula tertarik dgn Yasmin Nadilla walaupun dia sudah ada kekasih bernama Sharifah Mastura. Yasmin Nadilla tidak boleh menerima cinta Daniel Ezairy kerana dia sudah bertunang dengan Amran.

Pelbagai cara dilakukan untuk menarik perhatian Yasmin Nadilla. Namun semuanya gagal. Yasmin Nadilla sedikitpun tidak ambil kisah tentang perasaan Daniel Ezairy. Dia betul-betul setia pada tunangnya dan tidak mungkin akan berpaling tadah.

Sebaik sahaja dibebaskan, yasmin Nadilla pun pulang ke kampung. Alangkah terperanjatnya apabila dia mendapat tahu adiknya, Hasliza sudah berkahwin dgn Amran. Hancur hatinya. Dia tidak sangka adiknya sanggup merampas bekas kekasihnya.Sejak kepulangan Yasmin Nadilla, hati Hasliza tidak pernah tenteram. Dia berasa sangsi terhadap kakaknya. Dia takut kakaknya akan merampas kembali hati Amran. Pelbagai konflik berlaku hinggakan Yasmin Nadilla membawa diri ke Terengganu.

Di Terenganu, Yasmin Nadilla telah bertemu kembali dengan Daniel Ezairy. Dapatkah Yasmin Nadilla menerima cinta Daniel Ezairy?

Cinta Tiada Akhirnya (kesinambungan novel OMBAK RINDU)


Rentetan Perkahwinan rahsia antara Izzah dan Hariz di Ombak Rindu dipanjangkan lagi di dalam 'Cinta....Tiada Akhirnya.

Kehidupan menjanjikan segalanya. Pahit, manis, suka dan duka. Satu perjalanan anugerah dari Maha Pencipta yang menjanjikan kematian dalam kembara kehidupan. Bagi kaki yang melangkah dan tangan yang menadah, terpulang pada insan itu sendiri mencorak hidupnya.

Inilah kisah.....CINTA .....TIADA AKHIRNYA, menyelami Izzah yang setia, hampir sempurna, menyajikan cinta pada suaminya, Hariz yang masih mencari diri dan cinta sejati.

Disulami detik cemas yang pasti mengocak minda, mendebar jiwa, CINTA....TIADA AKHIRNYA, akan menyerapi kehidupan setiap pembaca.

Buat Yang Terakhir



'Dia terbakar di dalam sangkar asmara..'
 
Dalam dingin musim salji... tawa ria kita bagai pesta. Persahabatan di rantauan, pertemuan yang tidak dirancang, menjadikan aku serba salah mengenalimu. Sekilas pandang, kerlingan matamu menyatakan segalanya. Sahabat, dalam derai putih salji, aku cuba menikmati manisnya bulan madu kami. Namun tergamaknya kau menodaiku, isteri sahabat baikmu. Lalu bulan maduku menjadi racun. Dan zuriat ini buktinya, segalanya persis wajahmu.


Bukan Puteri Lindungan Bulan


Lahirnya dia ke dunia telah menghapuskan mimpi-mimpi duka. Pemergian ayahandanya membuatkan dia tersisih dari kasih sejati ibu sendiri. Namun demi sebuah memori, dikuatkannya meneruskan perjuangan yang diwariskan. apa yang diharapkan tidak pernah menjadi kenyataan. Serakah lelaki menghumban dirinya ke lembahderita. Sebuah cinta agung buatnya, berubah warna. Sinar mentari yang diidamkan, gerhana juga yang datang.

Hati Yang Luka (Recomended)


" Letakkan cintaku dalam hatimu. Hanya dengan itu dapat kau selam luka hatiku yang kian parah."


Widad gadis yang tabah. Yang penyabar. Yang kuat pegangan. Membawa diri ke luar negara setelah memutuskan pertunangannya dengan anak majikan ayahnya, Raof. Sedar dirinya tidak setaraf untuk bergandingan dengan Raof, anak orang kaya. Merawat lara diri tetapi akhirnya Widad kembali ke tanahair.

Malang menimpa Raof bila dia dituduh mengasari kekasihnya, lily dan didakwa di mahkamah. Atas saranan keluarga, Raof berkahwin dengan Widad untuk membuktikan yang dirinya lelaki yang bertanggungjawab bukan bengis dan kasar terhadap wanita. 

Sebelum perkahwinan, Widad ada membuat satu perjanjian dengan Raof yang menyatakan perkahwinan mereka akan terlerai selepas kes mahkamah Raof selesai. Raof yang tidak memahami tindakan Widad itu hanya mempersetujuinya sahaja.

Sepanjang perkahwinan mereka, Widad selalu di perli, di sakiti hatinya, dan seperti tidak dihargai. Tetapi Widad tabahkan hati. Menerima takdir dirinya walaupun terasa diri begitu hina dimata suaminya. Sebenarnya, Raof mencintai Widad tetapi kerana sudah terbiasa bersikap kasar dengan Widad sejak kecil membuat dia berterusan bersikap begitu. Merasakan dirinya lebih baik dan lebih kaya dari Widad.

Setelah kes mahkamah selesai dan Raof memenanginya. Widad pergi meninggalkan Raof. Sangkanya berakhir sudah ikatan perkahwinannya seperti yang tertulis di dalam perjanjian mereka. Raof bagai hilang nyawa bila menyedari Widad meninggalkan dirinya. 

Dicari Widad. Ingin menjelaskan kedudukan sebenar tetapi Widad enggan berjumpanya. Dengan pertolongan dari ayah Widad, akhirnya Raof menemui Widad. Memohon maaf atas kekasarannya selama ini. Mengakui akan cintanya pada Widad membuat Widad tersentak. Dan sesungguhnya jodoh mereka masih kuat, akhirnya Widad mengalah dan memaafkan Raof. Raof berjanji akan menjadi pecinta yang setia hanya untuk isterinya, Widad.

Sentuhan Kasih


Banjir kepiluan yang berladung di dalam hati tiada siapa yang rasa lemasnya melainkan dia... Namun dia rela menyimpan semuanya di dalam hati... tega membiarkan diri luka sendiri. Tapi sampai bila harus disimpan lemas luka hatinya?

Dia jauh di negara orang... lantaran ada yang sudi memberi dahan untuk berpaut, perlukah ditolak? Atau dia masih menanti rendangnya pohon memayungi tatkala turunnya salji atau terus menanti panasnya bahang asmara utk memanaskan dinginnya sekeping hati yang telah lama mati.

EGOIS


ATIA dan Fikri berkawan sejak di bangku sekolah dan sama-sama bekerja sebagai remiser. Hubungan mereka telah diketahui oleh keluarga masing-masing. Tetapi bagi Atia, sebagai seorang perempuan dia tidak mahu mempamerkan emosinya sama ada dia menyukai Fikri sebagai kekasih atau sekadar sahabat.

Lain pula dengan Fikri, dia sememangnya menyintai Atia tetapi sengaja hendak menguji gadis itu. Dia mula mereka cerita yang dia sudah bertunang. Atia walaupun tidak mengaku sebenarnya dia menyintai Fikri berasa amat kecewa dengan berita pertunangan itu.

Kebetulan pula, selepas emak Atia, Ramlah meninggal dunia Atia diberitahu oleh ayahnya Haji Idris yg emaknya itu mempunyai seorang kakak. Kakak emaknya itu yang dipanggil Mak Long ada seorang anak bernama Azali.

Sejak itu, setiap hujung minggu Atia selalu mengunjungi Mak Longnya. Dari situ, hubungan Atia dengan Azali bertambah rapat. Haji Idris melahirkan kebimbangannya apabila Azali mahu meminang Atia. Sesuatu yg Atia dan Azali tidak tahu ialah mereka tidak boleh berkahwin kerana mereka sebenarnya adik-beradik. Sbenarnya, Azali adalah anak kandung Haji Idris berkahwin kerana sebelum mengahwini emak Atia, dia pernah berkahwin dengan Hasnah ataupun Mak Long kepada Atia itu. Atia sangat kecewa apabila mengetahui kebenaran tersebut sehingga dia membuat keputusan utk ke luar negara.

Fikri menjadi kelam kabut apabila mendapat tahu Atia hendak berhenti kerja. Dia cuba menjelaskan perkara sebenar pada Atia tapi Atia enggan menerimanya. Oleh kerana tidak mempunyai cara lain, Fikri terpaksa membuat pelan yg agak keterlaluan untuk menjelaskan segalanya kepada Atia sebelum gadis kesayangannya itu terlepas jauh. Dengan bantuan Halimah, kakak Atia dan rakan-rakan sekerja lain, Fikri menculik Atia.

Aku Bukan Billy Milligan


Penghinaan  dan cercaan ketika kecil, membuatkan Adam percaya, harta menggunung dapat membeli maruah diri.  Bila usia menginjak dewasa, tekadnya hanya satu, menjadi kaya dan dihormati seperti Warren Buffet!

Namun Adam silap percaturan.  Setelah kejayaan dalam genggaman.  Dia masih lagi diperlekehkan dan rumahtanggannya runtuh walaupun dia sudah menjadi kaya raya!

Kehadiran Laura membuka mata Adam.  Laura dari mata kasar Adam, hanya biasa-biasa sahaja.  Tetapi gadis itu berjiwa tegar, selamba dan tenang.  Anak pembuat belacan yang sentiasa menikmati hidup seadannya.  Dari Laura, Adam pelajari banyak perkara.  Terutama bagaimana mahu menghargai kehidupan dan berkasih sayang.

CHINTA


Zahirnya dia lelaki yang sempurna, ada gaya ada harta. Sedangkan tiada sesiapa yang tahu, dia sebenarnya sedang menderita. Derita jiwa yang menghantui bertahun lalu lama. 

Kerana angkara si emak, lelaki yang bernama Raja Akid itu tidak pernah percaya pada cinta. Bahkan dendam yang berladung di hati tidak pernah dapat diusir dari diri. Dan sampai satu saat, gadis yang bernama Chinta itu hadir. Raja Akid terperangkap antara kasihnya terhadap Chinta dan bencinya pada wanita.  

Beranikah dia menghuraikan segala rahsia yang disimpan? Dapatkah dimiliki kasih Chinta? Sebenarnya... hanya Raja Akid sahaja yang boleh menjawabnya.

Dari Kerana Mata


Cinta itu tidak pernah berubah walau musim berganti

Bolehkah dipercayai cinta seorang kanak-kanak yang tidak punya apa-apa? Bolehkah dipegang segala janji dan kata-kata? Bagi ramai orang, cinta seorang kanak-kanak hanya cinta monyet, cinta yang cepat pudar dan hilang dalam sekelip mata. Cinta yang akan melompat dari satu dahan ke satu dahan, dari pokok pokok dan pergi tanpa apa-apa rasa?

Tetapi bagi seorang anak kecil seperti Atan, cintanya terlalu tulus buat Jaliha. Cinta yang datang dari mata turun ke hati. Cinta yang memicu dia terus berdiri dan berlari.

Cinta bagi seorang kanak-kanak, ianya terlalu jujur untuk dikhianati dan walau musim berganti. Cinta itu tidak pernah berubah walau seinci.

Setiap Jumaat


Hidup di negara orang memang payah. Apatah lagi di Negara Jepun yang rumah sewanya hanya sekangkang kera. Benar kata orang, biar hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Negara sendiri lebih indah. Tetapi kerana dendam, payah dan gundah, suka atau tidak, Jasmine gagah mengharungi sendiri. Bertahun berlalu, marah pada emak tidak pernah surut. Memang tidak ada haramnya emak berkahwin lain, tidak ada hinanya. Ayah pun sudah meninggal dunia. Tetapi apa perlunya emak berkahwin dengan lelaki bujang? Namun Jasmine tidak tahu, ada rahsia sebenarnya yang emak tidak mahu cerita….

Thursday, August 4, 2011

Kasih Antara Kita


Emelda sama sekali tidak menduga begini lipatan takdir yang dijanjikan untuknya. Namun dia tetap pasrah dan reda dengan setiap ujian yang datang. Yakin... Sesukar mana pun perjalanan hidup, masih ada keindahan dan kemanisan yang akan dikecapi.

Lantaran itu, dia rela bila melihat derita yang ditanggung oleh si kakak. Jika inilah yang dinamakan pengorbanan, dia tahu dia telah melakukan pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Masa depan dan harga diri! Namun, apa pilihan yang dia ada?

“Tapi... dalam hidup ini tidak semua yang kita ingini akan kita dapat malah kadangkala kita terpaksa berkorban hati dan perasaan. Apa lagi bila melibatkan perasaan orang lain.”

Akur dengan kata-kata itulah, Emelda akhirnya rela memperjudikan nasib bersama Aril Fatah. Meskipun saat memandang wajah itu tidak ubah seperti melihat kertas putih. Tapi demi Atiea dan Dania, dia tetap mencuba sedaya yang boleh. Walaupun dia tahu, bila kebenaran terbongkar, dia yang akan karam sendiri!

“Benarkah perkahwinan tanpa cinta itu teguhnya seperti sebuah istana pasir? Diusik ombak, pasti akan goyang. Apatah lagi jika gelombang yang tiada taranya.”

Lantas hati kecil Emelda bertanya, “Inikah balasan atas pengorbanan yang kulakukan selama bertahun-tahun ini?”

Sedangkan dalam waktu yang sama, Aril Fatah leka memikirkan kata-kata tulus Hakimi yang lebih kepada cabaran. “Kalau benar sayang, berusahalah untuk mendapatkan cintanya!”

Semusim Rindu


Di sebalik senyumannya... ada tangisan yang panjang. Keperitan hidup menjadi anak buangan membuatkan Hajar Adira begitu berhati-hati. 15 tahun dia cuba membalut luka tetapi sehingga kini luka itu masih berdarah. Selagi parut itu masih ada, kemaafan untuk mereka mungkin tiada. Dulu Hajar pernah mengemis kasih sayang saudara sendiri, kini kasih itu tidak diperlukan lagi. Cukuplah jiwanya menderita dan zahirnya terseksa...

Benarlah... perasaan itu sememangnya sesuatu yang hidup. Hari ini tiada tapi esok mungkin ada. Hari ini ada, mungkin esok tiada. Tapi Hajar tahu perasaannya pada Ikhman tidak akan sirna sampai bila-bila. Bukan senang untuk dia jatuh cinta! Bila sekali perasaan itu bertapak, tiada apa yang mampu menghilangkan rasa cinta walaupun perasaan dendam pernah berapi di dadanya. Sesungguhnya kemaafan adalah dendam yang terindah...

Sungguh... Hajar rindu pada Ikhman. Tapi dia terlalu takut dilukai hingga tanpa sedar dia sebenarnya melukai hati dan perasaannya sendiri. Mungkin ini suratan yang tertulis dalam lipatan hidupnya. Di saat dia baru belajar bertatih untuk menerima dan memberi Ikhman kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dia dibiarkan terkapai-kapai seorang diri. Dan... yang paling perit dia dituduh menduakan suami sendiri! Inikah balasan ALLAH pada dirinya yang ingkar?

Akhirnya... kata putus harus diambil. Biarpun kasihnya digantung tidak bertali, status sebagai isteri tidak akan sesekali dicemari. Jika perpisahan menjanjikan penyatuan dua hati, dia rela berlari dan terus berlari demi mencari kebahagiaan sendiri. Yang pasti dia tidak mahu menjadi seperti bunga, dihirup madunya kemudian ditinggalkan begitu saja. Apakah Ikhman tahu maksudnya?

Dekat di Hati


TUJUH belas tahun yang lalu, hati Johan bagai dihiris sembilu setiap kali mendengar sindiran saudara-maranya. Harga dirinya seperti diinjak-injak oleh mereka hanya kerana dia bukan pegawai besar. Sekian lama menahan sabar, akhirnya dia membuat keputusan setelah puas beristikharah. Dengan linangan air mata, isteri dan anak-anak ditinggalkan. Sebagai lelaki sejati, dia harus pergi untuk memperbaiki kehidupan mereka sekeluarga.

Masa silih berganti, Johan pulang untuk menggalang janjinya kepada Noraini, Izuddin dan Izatti. Malangnya, harapan tidak semudah yang dilafazkan. Pemergiannya dulu dianggap sebagai lelaki pengecut! Apatah lagi tindakan melulunya dulu menceraikan Noraini yang setia, ibarat melepaskan satu tanggungjawab.

Susah hidupnya di rantau orang, derita lagi hidup Noraini bersama anak-anak. Izuddin membesar sebagai anak yang tahu diri. Manakala Izatti pula sentiasa mencari-cari kasih ayah yang sudah ‘mati’.

Dalam diam, Johan cuba memenangi hati Izuddin dan Izatti yang menganggapnya sebagai ayah yang culas. Hasratnya mahu menyatukan mereka dalam sebuah keluarga. Dan dia mahu Noraini kembali ke pangkuannya untuk membina semula kehidupan mereka.

Saat Cinta Bersemi



BENAR, tiada siapa yang mengharap derita sepanjang hidupnya. Begitu jua dengan Nur Dhuha yang tidak pernah mengimpikan duka. Namun, takdir sudah tertulis... kehidupannya terus dirundung malang. 

Syamir... walau kewujudan semula lelaki itu tidak pernah dimahukan sama sekali, dia tetap tega memburu Nur Dhuha. Dendamnya begitu mendalam walau episod duka sudah berlalu bertahun lamanya. Nur Dhuha... didera mental dan fizikal seolah tidak layak menikmati hidup. Walau derita, jauh di sudut hati, dia tetap mendambakan kasih dan sayang. Bencinya terhadap Syamir hanya di bibir. Luka yang dicipta Syamir berulang kali dirawat sendiri sehingga sabarnya mencapai kemuncak. 

Kehilangan Nur Dhuha meragut keegoan Syamir. Benarlah kata orang, betapa pentingnya seseorang itu hanya dapat dirasai apabila kita kehilangannya. Tatkala hampir kehilangan gadis itu, perlahan-lahan cintanya datang bersemi. Lantas, dia kembali sebagai pemburu demi sebuah kemaafan. Wajarkah kemaafan buat Syamir setelah Nur Dhuha hampir hilang pedoman diri? Masih adakah harapan untuk Nur Dhuha mengecap bahagia?

Setulus Janji


Ilham dan Insyirah, dua beradik angkat yang membesar bersama bagai abang dan adik. Tanpa diduga, ada rindu yang bertamu di hati mereka. Dalam diam, masing-masing menyimpan rasa. Cinta, kasih dan rindu mereka bersatu menjadi tugu. Namun, Ilham atau Insyirah tidak berani bersuara. Bimbang kasih yang hadir, hanya bertepuk sebelah tangan.

Bertahun-tahun mereka memendam rasa. Ilham hanya memandang dari jauh meleraikan resah. Insyirah pula menyulam gelisah di tabir mimpi. Mengapa tidak berterus terang? Adakah mereka takut pada jawapan ya atau tidak sedangkan cinta harus dilafazkan dengan kata-kata!

Dugaan datang bila Aiman berjaya mendekati impian Insyirah. Ilham yang tersilap menduga, bertindak mengikat Juwita sebagai tunangannya. Mereka berpura-pura menerima orang lain sedangkan hati tidak benar-benar rela. Hanya bulan dan bintang yang setia mendengar rintihan mereka.

Cinta yang hampir terhumban, kembali marak menyala. Keajaiban ALLAH, akhirnya menyatukan Ilham dan Insyirah sebagai suami isteri. Begitulah setulus janji dua kekasih yang pernah terluka dan dilukai, agar pengalaman di masa silam dijadikan kenangan.

Impian Kasih


SAKITNYA... bila cinta dikhianati. Justeru itu, Hazita melontarkan keinginannya jauh-jauh setelah cinta pertamanya dipersia. Dia tega memaksa hati menjadi sekeras kerikil. Baginya, lelaki usah dipercayai. Lantas... lamaran kasih daripada Hairie, lelaki kedua dipandang sepi.

Mulut menidakkan sedang hatinya enggan berdusta. Ternyata, Hazita gagal menepis kehendak rasa. Dia akhirnya terdampar dalam cinta seorang lelaki bernama Amer. Mimpi mereka bersatu dalam melafaz janji setia.

Ketika asyik menyulam rindu, muncul e-mel misteri dari Korea. Joo Eun, wanita mualaf mengaku Amer suaminya. Sejak bertahun, lelaki itu pergi tanpa khabar berita. Adakalanya Joo Eun pasrah. Namun, winter sonata yang pernah mereka lalui bersama, menyebabkan dia tidak pernah berhenti mengharap. Kepulangan seorang suami sentiasa didoa menjadi kenyataan, sebelum nafasnya terhenti.

Hazita terkedu! Sanggupkah dia menghancurkan kesetiaan wanita itu? Ah, dia nekad, Amer mesti kembali pada yang berhak!

Dalam merawat duka, Hairie datang menghulur salam. Janji kasih yang pernah dilafazkan hanya untuk sang ratu hatinya. Akhirnya Hazita akur, cinta itu sebagai rahmat dan nikmat. Dalam pahit bak hempedu, manisnya tetap dirasa...

Pelabuhan Kasih


Fatin Nabilah gadis sederhana yang jauh dari kehidupan sosial. Pelajaran adalah tunggak utama dalam hidupnya. Dia juga berpegang teguh pada prinsip; lelaki pertama yang keluar dengannya akan dipastikan menjadi suaminya.

Perkenalannya dengan Azril Adam, teman sekampus telah menerbitkan bibit-bibit cinta yang tidak diduga. Azril menjadi lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya. Kehadiran lelaki itu membuatkan hidupnya semakin ceria. Malah, dia redha menerima sikap panas baran Azril yang sering menyakiti hatinya atas prinsipnya bahawa lelaki itulah bakal teman hidupnya!

Perkahwinan yang dibina ibarat retak menanti belah. Tidak tahu di mana silap, Fatin sering menjadi mangsa cemuhan Azril. Akhirnya, Fatin terpaksa akur bahawa prinsipnya itu harus dicampak jauh. Azril ditinggalkan setelah menjadi saksi pernikahan kedua suaminya dengan Nadira. Fatin pergi bersama dua anaknya dengan hati yang terluka.

Cinta pertama memang indah. Tapi tidak bermakna cinta yang datang selepas itu, tidak sehebat cinta pertama. Kehadiran Fazil yang begitu setia, disambut baik oleh Fatin. Biarpun penantian itu satu penyeksaan, tapi jika yang diidamkan akhirnya menjadi nyata, dia rela menunggu biarpun beribu tahun.

Akhirnya, sauh kasih Fatin berlabuh jua. Kali ini di pelabuhan cinta Fazil. Semoga kesetiaan Fazil tetap utuh selamanya, biarpun badai sentiasa bergelora.

Sepi Tanpa Cinta (Recomended)


HAZIQAH mempunyai impian untuk hidup bahagia di samping Yusri. Namun, tiada siapa menyangka di saat hari bahagia itu bakal menjelma, ada yang membuat onar sehingga kesucian dirinya dipersoalkan. Lantaran itu, pelamin angannya musnah bersama harapan dan hatinya hancur umpama terhempas!

Namun, Haziqah nekad. Majlis perlu dilaksanakan. Yang penting, fitnah dapat ditamatkan. Biarpun Fakrul tidak pernah dicintai, dia rela asalkan kesucian dirinya dapat dibuktikan. Tetapi malang, perkahwinan yang tercipta itu hanya menambahkan penderitaan yang sedia tergalas di bahu. Dia dikeji dan digantung tak bertali!

Bagi Fakrul, cintanya bukan untuk Haziqah tapi masih untuk Azura. Gadis pertama yang dicintainya... tetapi kecurangan Azura menambahkan kebenciannya kepada Haziqah. Dia benci pada perempuan yang tidak setia. Namun, pertemuan kedua antara Fakrul dan Haziqah membuatkan dia mula yakin bahawa Haziqah adalah miliknya. Bukan Yusri mahupun Hafiz... sepupunya.

Mampukah Haziqah menyambut huluran cinta Fakrul setelah dirinya puas dihina? Haziqah tidak mahu pisang berbuah dua kali! Baginya, kedukaan lalu masih bertapak utuh di hatinya. Cukuplah sekali...

Kasihku Abadi


Wana yang pernah putus tunang menyerahkan soal jodoh pada keluarganya. Antara rela dan terpaksa, dia menerima Risyam sebagai suami. Rumahtangga mereka diserikan dengan sepasang anak kembar Rayyan dan Ranis. Ternyata, pilihan keluarga juga membuahkan cinta dan bahagia.

Kegembiraan mereka dirampas bila Risyam disahkan mengidap HIV positif akibat pemindahan darah. Risyam yang amat kecewa menganggap ini sebagai malapetaka. Namun, Wana dan seluruh keluarganya memberikan sokongan moral agar Risyam tabah meneriskan hidup.

Konflik antara Wana dan Risyam terjadi dengan kemunculan Haiqal, bekas tunangan Wana. Lelaki itu cuba menggoda Wana agar kembali ke pangkuannya. Dengan cara halus, dia memporakperandakan rumahtangga Risyam dan Wana. Namun, keimanan suami isteri ini yang sabar, berjaya menangkis kejahatan manusia.

Dalam doa ada harapan, dapatkah mereka terus menyulam kasih?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...