DIA tidak pernah meminta apa-apa. Cukuplah sekadar dia disayangi. Dan ibarat sang puteri di dalam cerita dongeng, dia bertuah kerana disayangi semua orang meskipun hakikatnya dia hanyalah anak orang gaji di rumah Zainal Ikram. Di situ juga persahabatannya dengan anak tunggal Zainal Ikram, membuahkan erti kasih yang cukup tulus.
NAMUN mimpi tak selalunya indah, apabila pembunuhan Zainal Ikram menjadikan ayahnya suspek utama. Dan kebencian Engku Latifah memaksa dia dan ibunya pergi meninggalkan rumah itu buat selama-lamanya.
PENGANIAYAAN demi penganiayaan melontar dirinya jauh ke dalam dunia Zafran dan ayahnya, Bustaman. Kerana mahu menyelamatkan diri, dia terpaksa menukar identiti diri dan hidup sebagai adik Zafran. Tetapi hidup bersama Zafran rupanya lebih sukar bila hati Zafran mula terpaut. Sedangkan rindunya pada Nashriq Adli ibarat air yang tidak putus mengalir. Dan setiap rindu yang dirasakannya dilakar dengan air matanya.
APAKAH perlu dia meleraikan dendam demi cinta? Atau haruskah dia melupakan cinta untuk menuntut kembali apa yang telah dirampas darinya?
.........................................................................................................
Setelah berada di luar negara selama dua belas tahun, Nashriq pulang untuk mencari sendiri adik yang telah lama hilang. Raihana bukanlah adik kandungnya tetapi anak kepada pemandu arwah bapanya Zainal Ikram. Misteri pembunuhan Zainal Ikram juga masih menjadi tanda tanya bagi Nashriq. Walaupun semua mengatakan Munif sebagai pembunuh ayahnya tetapi Nashriq tetap ingin mencari Raihana dan ibunya yang telah lama hilang. Rupa-rupanya ada skandal besar yang sengaja disembunyikan di sebalik pembunuhan itu.
Di dalam pencariannya, dia menemui Duha Maisarah yang bermasalah dengan bapanya seorang kaki judi. Entah kenapa hati Nashriq melekat pada Duha Maisarah tanpa mengetahui siapakah gadis itu sebenarnya. Duha Maisarah terperangkap di antara cinta Nashriq dan Zafran. Namun hatinya berat mengatakan Nashriq lebih mendapat tempat di hatinya walaupun telah banyak kali hatinya dilukai Nashriq.
Engku Iskandar pula tidak menyenangi Nashriq yang mengambil alih peneraju syarikat Mega Timur Construction. Selama ini dialah yang berkuasa dan boleh berbuat sesuka hatinya ke atas kewangan di syarikat itu. Hasrat hati untuk mengambil alih Mega Timur menjadi miliknya tidak kesampaian bila Nashriq dan Erman dapat menghidu niat tak baiknya. Dalam pada itu Engku Iskandar juga mengesyaki Duha Maisara adalah Raihana yang disangkanya mati kemalangan dua belas tahun yang lalu. Akan terungkapkah rahsia lama yang cuba dikuburkan oleh Engku Iskandar dengan kehadiran Duha Maisarah dan Nashriq?
0 comments:
Post a Comment